Cutest
Photobucket
FATIN NABILA AZMAN


Dashboard Follow CBOX

Khusyuk Dalam Solat

Wednesday, 18 November 2015 | 10:16

Tanyakan pada diri kita, bagaimana fikiran, perasaan dan rasa hati semasa mengerjakan solat?

Adakah fokus kita tertumpu sepenuhnya kepada Allah? Atau hati masih liar, fikiran masih merawang dan perasaan masih kacau semasa mendirikan solat?

Bagaimana pula soal penghayatannya?

Adakah kita dapat merasai apa yang telah kita fahami itu? Semasa mengucapkan bacaan-bacaan dalam solat itu adakah kita lakukan dengan sedar?

Atau hanya sekadar ucapan biasa yang tidak membawa apa-apa makna dan rasa?

"Dan berjayalah orang yang beriman, yakni orang yang khusyuk dalam solatnya."
[Surah al-Mu'min 23:1-2]

Apakah itu khusyuk?

  • Solat yang khusyuk tercapai apabila hati, fikiran, perasaan dan seluruh pancaindera tunduk patuh kepada Allah sepanjang waktu mengerjakan solat.
  • Semasa solat, seseorang itu berhubung secara langsung dengan Allah. Sepanjang mendirikan solat, seseorang hamba berdoa terus dihadapan-Nya.
  • Hubungan dengan Allah ini akan menimbulkan rasa-rasa tertentu di dalam hati yang kemudian membentuk hati itu akur, taat dan patuh kepada Allah.
  • Diriwayatkan apabila para sahabat Rasulllah S.A.W. solat di tengah padang pasir, burung-burung akan hinggap dibahu, malah ada diatas kepala dan badan mereka, kerana menyangka mereka ialah pohon kayu. Begitulah, diam dan pegunnya jasad mereka ketika solat.

Bagaimana pula dengan kita insan biasa untuk khusyuk di dalam solat?

Saya pasti ramai di antara kita sangat teringin dan tercari-cari formula untuk menjadi salah seorang hamba Allah yang khusyuk di dalam solat.

In shaa Allah, dalam artikel ini akan berkongsi formula yang dengan izin-Nya, akan membantu kita untuk khusyuk di dalam solat.

Tujuh Langkah Menuju Khusyuk Dalam Solat

1. Mencari Pengertian (Faham)


  • Perkara ini perlu dimulakan dengan memahami makna bacaan (Rukun Qauli) dan erti setiap perbuatan dalam solat.
  • Apabila mengucapkan takbiratulihram dan membaca surah al-Fatihah misalnya, makna setiap kalimahnya perlu diketahui satu per satu.
  • Jadi, belajarlah Bahasa Arab sekurang-kurangnya untuk mengetahui makna bacaan-bacaan yang wajib dan sunat dalam solat.
  • "Jangan jadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai menuturkan kata-kata tetapi tidak tahu apa makna dan maksudnya."
  • Namun memahami makna sahaja tidak memadai, kita perlu melangkah ke tahap seterusnya.


2. Memusatkan Fikiran (Fokus)


  • Tahap kedua ialah pemusatan fikiran. Menghindarkan gangguan hal-hal lain, sehingga fikiran, perbuatan dan ucapannya seiring - yakni terfokus sepenuhnya kepada makna bacaan dan perbuatan dalam solat.
  • Mungkin kita telah memahami makna bacaan, tetapi oleh sebab tidak fokus, seseorang yang membacanya hanya umpama "Orang mengigau" dalam tidur.
  • Sekiranya seketika kita terfikir juga hal-hal lain, tapi ingatan dan fikiran tetap terikat pada tujuan solat (Mengingati Allah), keadaan ini samalah seperti orang yang sedang memandu kereta.
  • Fikirannya tetap fokus kepada destinasi yang hendak dituju walaupun sekali-sekala ternampak juga objek-objek dan pemandangan di tepi-tepi jalan.
  • Semua itu tidak mengganggu fokusnya.
  • Lain pula halnya jika dia "Terlalai" dengan pemandangan-pemandangan di tepi jalan sehingga dia tidak sedar bahawa sudah terlajak jauh daripada destinasinya.


3. Membesarkan Allah (Rasa 'Haibah')


  • Perlu diingat, pemusatan fikiran bukan ditujukan kepada bacaan itu sahaja tetapi pada makna di sebalik bacaan itu.
  • Ertinya, tumpuan bukan hanya pada huruf dan ayat serta sebutan, tetapi pada makna dan tafsirannya. Inilah yang dimaksudkan dengan 'pengertian'.
  • Hanya orang yang kenal raja akan bercakap-cakap dengan penuh penghormatan, rasa takut, malu dan rendah diri.
  • Sebaliknya, orang yang tidak kenal raja, akan bercakap-cakap dengan baginda secara biasa-biasa sahaja.
  • Apabila orang yang kenal Allah mengucapkan kalimah "Allahuakbar" misalnya, dia bukan sahaja tahu maknanya (Allah Maha Besar) malah hatinya turut merasai betapa hebatnya kuasa Allah yang telah mencipta dirinya, alam semesta, akhirat dan segala makhluk.
  • Pada ketika itulah terpancarnya rasa-rasa yang seni dan indah dalam fikiran dan jiwa yang tidak mungkin terjadi diluar solat.
  • Oleh itu pada peringkat permulaan, cubalah untuk merasakan kita sedang berhadapan seorang raja yang sangat berkuasa dan kita perlu fokus dihadapan-Nya.


4. Kagum Dan Takut Akan Keagungan Allah (Rasa Khauf)


  • Hasil daripada merasai kebesararn Allah, maka timbul pula rasa takut dan kagum kepada-Nya. Rasa takut dan kagum kepada Allah ini tidak sama dengan rasa takut dan kagum perkara-perkara lain.
  • Kita takut kepada harimau kerana keganasannya, tetapi kita takut kepada Allah kerana kehebatan-Nya. Takut akan harimau, kita lari menjauhinya, tetapi takut akan Allah kita datang menghampirinya.
  • Rasa takut akan timbul apabila seseorang gerun akan kemurkaan Allah dan Neraka-Nya.
  • Rasa takut ini diterjemahkan dalam solat dengan perbuatan berdiri betul, menundukkan kepala, mata melihat ke tempat sujud (Tidak berani mendongak), rukuk serta sujud.


5. Rasa Mengharap Kepada Allah (Rasa Raja')


  • Apa yang dimaksudkan dengan rasa mengharap?
  • Rasa mengharap ialah pengharapan seorang hamba untuk mendapat keampunan, kasih sayang dan syurga Allah.
  • Jika rasa takut sahaja dibiarkan mendominasi jiwa, dikhuatiri akan timbul sangka buruk dan jahat sangka terhadap Allah.
  • Padahal dalam realiti, Allah lebih suka mengampunkan dosa berbanding menyeksa hamba-Nya yang berdosa.
  • Oleh sebab itu, ulama' berpesan dalam keadaan biasa seseorang hendaklah menyeimbangkan rasa takut dan harapnya umpama dua sayap pada burung yang membolehkannya terbang dengan stabil dan selamat.
  • Jangan terlalu takut, nanti timbul sangka buruk kepada Allah. Jangan terlalu harap, nanti terjadi sikap sambil lewa serta "Berangan-angan" akan keampunan Allah.
  • Rasa harap dalam solat ini adalah menerusi penghayatan ketika bacaan al-Fatihah (Mengharapkan jalan yang lurus), bacaan qunut (Mengharapkan hidayah, kesihatan dan lain-lain) dan bacaan ketika duduk di antara dua sujud (Mengharap keampunan, belas kasihan, ditinggikan darjat, dan lain-lain).
  • Manakala melalui perbuatan duduk dalam tahiyat awal dan akhir, sujud serta rukuk - semuanya melambangkna rasa pengharapan seorang hamba yang sedang meminta-minta dan merayu-rayu.


6. Rasa Malu Dan Hina Diri (Rasa Haya') Dalam Solat


  • Rasa malu dan hina diri ialah kemuncak segala rasa yang timbul sebelumnya. Oleh itu PERLU ditimbulkan rasa berdosa kepada Allah.
  • Apabila ada rasa berdosa maka barulah timbul rasa malu.
  • Cara untuk menimbulkan rasa berdosa ialah dengan menimbulkan kesedaran (Insaf) akan kelalaian diri, lemah melaksanakan tanggungjawab, kurang ikhlas, banyak prasangka buruk, tidak sabar dan redha dengan takdir dan banyak "Berhutang" kepada Allah.
  •  Sewaktu sujud, kita meletakkan kepala, dahi dan muka yang sentiasa berada "Di atas" (Sentiasa dihormati) ke tempat yang paling bawah (Tempat sujud).
  • Manakala dubur yang sentiasa disorokkan di bawah, ketika sujud telah dijongketkan ke atas sebagai cara meleburkan kesombongan dan kebesaran diri!


7. Memakai Pakaian Yang Paling Selesa Dan Paling Cantik Ketika Solat


  • Untuk kaedah yang terakhir ini, tidak berkaitan dengan enam kaedah di atas. Nampak seperti remeh, namun ia juga adalah salah satu langkah yang boleh dipratikkan untuk mencapai khusyuk di dalam solat.
  • Sebolehnya, pilihlah pakaian yang paling selesa, suci dan khas untuk solat.
  • Pilih pakaian yang diperbuat daripada material yang paling baik, yang tidak membuatkan kita berpeluh apabila panas, tidak longgar atau ketat sehingga mengganggu pergerakan solat.
  • Dan juga pilihlah yang paling cantik, sempurna dan dikhaskan untuk solat. Kerana solat kita adalah untuk menghadap Allah, Raja yang paling Agung dan Allah sangat sukakan kecantikan.
  • "Innallaha jamil, wa yuhibbu jamal" : Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.


Penutup : Solat Yang Khusyuk Akan Mendidik Hati Membina Rasa Bertuhan

  1. Sebagai ingatan, ada bezanya antara solat yang khusyuk dan solat yang sah. Solat yang khusyuk sudah semestinya sah. Tetapi solat yang sah belum tentu khusyuk.
  2. Solat yang khusyuk ialah solat yang berjaya menyentuh dan mendidik hati, akal dan nafsu manusia. Ia juga akan membina rasa bertuhan.
  3. Rasa bertuhan akan mendtangkan rasa gagah, berani dan optimis dalam hidup.
  4. Bahagia.
  5. Walau sekuat mana pun ujian hidup melanda, segala-galanya dapat diatasi dengan baik kerana adanya "Talian hayat" dengan Yang Maha Berkuasa.
  6. Diri yang lemah akan menjadi gagah apabila hati diserahkan sepenuhnya untuk ditadbir oleh Allah. Rasa bertuhan juga menimbulkan harapan dan impian yang sentiasa hidup dan menyala-nyala.
  7. Inilah booster utama dalam usaha meraih kejayaan dalam kehidupan. =)


New
Past
BLOG OWNER ★



Assalamualaikum. Ahlan wasahlan to blog FATIN NABILA AZMAN. Hope dapat ilmu sikit dari post saya. Syukran jazilan kerana sudi blogwalking blog saya ni. Kalau sudi follow lah sekali. Hee, TQ.

SEARCH? ★




STORY MORRY ★

Kalau nak baca entry yang terdahulu kala, klik post bawah sekali, n then dia akan keluar post lagi. Saya pun tak tahu kenapa jadi macam ni. Harap suka lah ngan blog saya ni yang tak de apa, hehe..

CREDIT ★

Skin made by Iyra Monster
Background from Wanaseoby
Most help Afiqah Junizan
Software used PS CS5 & AI CS5